Tuesday, December 13, 2011
Hanya Di Afrika!!
Sunday, December 11, 2011
Rahsia kehebatan Barcelona (Fakta menarik!)
Setelah puas melihat Barcelona membenam Real Madrid, 3-1, Wak terfikir bagaimana sebuah kelab bola sepak yang hebat seperti Barca dapat dibina.
Pasukan kendalian pengurus Pep Guardiola sudah dianggap sebagai ‘pasukan terbaik sepanjang zaman’ kerana kejayaan epik mereka dalam tempoh tiga tahun terakhir.
Lionel Messi, Andres Iniesta, Carles Puyol, Victor Valdes, Pedro Rodriguez, Xavi Hernandez, Gerard Pique, Sergio Busquets, Bojan Krkic dan Jeffren semuanya tampil daripada sistem remaja Barca.
Semua pemain itu adalah produk yang dipanggil Barca ‘futbol base’ atau asas bola sepak.
Hari ini, ia menampilkan 330 kanak-kanak dan beratus kakitangan, lantas kelab itu perlu membelanjakan sebanyak 10 juta (RM48.7 juta) setahun.
La Masia, ‘chalet’ berhadapan dengan Stadium Nou Camp di mana 60 bakat terbaik – yang keluarganya tinggal di kawasan pedalaman Sepanyol mahupun di luar negara – menginap di situ dengan harapan untuk berada dalam pasukan utama.
Bangunan itu setinggi dua tingkat, ia memiliki satu dewan makan, enam bilik tidur, sebuah perpustakaan, sebuah bilik komputer dan sebuah bilik rekreasi.
Hanya 12 orang kanak-kanak tidur di bangunan itu. Selebihnya menginap di bilik asrama di tingkat satu stadium itu, kira-kira 30 meter dari bangunan itu.
Messi, Iniesta, Puyol, Valdes dan Pedro tinggal di La Masia bertahun-tahun lamanya. Krkic dan Jeffren turut menginap di situ, manakala Xavi pergi ke sana untuk makan, jadi kelab itu boleh mengawasi dietnya. Pique dan Busquets tinggal bersama keluarga mereka di bandar raya itu.
Guardiola turut menghabiskan bertahun-tahun di La Masia pada 1980-an sebelum menjadi seorang legenda sebagai pemain. Begitu juga orang kanannya, Tito Vilanova, dan orang yang mengetuai skuad remaja ketika ini, Guillermo Amor, seorang lagi bekas pemain antarabangsa Sepanyol.
Ketiga-tiganya berada dalam pasukan 1986-87 dan hari ini trio itu menguruskan setiap aspek kelab itu daripada sudut bola sepak.
Suku abad kemudian, mereka memastikan kesinambungan daripada falsafah kecemerlangan, kedua-dua sukan dan kemanusiaan, dikekalkan di kelab gergasi Sepanyol itu.
Pernah menjadi residen La Masia termasuk kapten Arsenal, Cesc Fabregas, penjaga gol Liverpool, Pepe Reina, pemain tengah Everton, Mikel Arteta dan pemain Atletico Madrid bekas pemain tengah Arsenal, Fran Merida. Senarai itu tanpa penghujungnya.
Albert Folguera, ketua La Masia, menjelaskan pendekatan kelab itu.
Beliau berkata: “Ia adalah satu sistem pengarah, guru, seorang doktor, seorang pakar psikologi, tukang masak dan pekerja lain. Ada tiga orang guru yang bekerja pada sebelah petang dengan kanak-kanak.
“Ada juga ketua pembelajaran dan seorang lagi petugas pentadbiran yang menguruskan semua pembelian, tiket dan semua barang yang diperlukan kanak-kanak bagi rekreasi dan pelajaran mereka. Kami juga ada tiga tukang masak dan enam kakitangan dapur.” Bintang semasa seperti Xavi dan Iniesta sering memuji mengenai tahun-tahun mereka di La Masia.
Folguera berkata: “Xavi bercakap mengenai nilai-nilai yang kami terapkan di sini – berkongsi sesuatu, semangat sepasukan, persahabatan, gelak ketawa. Anda tidak boleh mempelajarinya, anda perlu mengalaminya.
“Adakah kami berdepan masalah menyesuaikan diri dengan sesetengah kanak-kanak? Sudah tentu. Mereka hadir di sini berusia 12 tahun dan berjauhan daripada keluarga mereka. Ia sukar tapi ia sebahagian daripada proses.
“Bagi Iniesta, bulan pertamanya memang teruk sekali. Dia rindukan keluarganya yang berada 700km dari Barcelona di Albacete.
“Begitu juga Leo Messi. Ibu dan bapanya berada di Argentina. Dia hanya berusia 12 tahun, mempunyai masalah tumbesaran dan tidak boleh bermain perlawanan rasmi selama setahun kerana masalah dokumen.
“Victor Valdes terpaksa pulang ke rumahnya selepas semusim. Dia terlalu rindukan keluarganya.
“Di sini, kami menangani masalah emosi. Untuk membuatkan mereka berasa berada seperti di rumah dan berada di kalangan orang ramai, membuatkan kanak-kanak itu berasa tidak dipinggirkan.
“Ia lebih seperti sebuah keluarga. Doktor, pakar psikologi, guru dan ada ketikanya, jurulatih datang ke sini untuk makan bersama, jadi kanak-kanak itu berasa mendapat sokongan.
“Semua bintang semasa yang terpisah daripada keluarga tercinta menjadi juara hebat. Mereka memiliki karakter dan kesungguhan untuk mengatasi kesukaran.” Anehnya, hampir sepanjang hari dihabiskan dengan pelajaran sekolah. Hanya dua jam dikhaskan untuk berlatih pada sebelah petang dan “sering bersama bola”.
Folguera mendedahkan: “Ini adalah masa terbaik buat La Masia sejak ia diperkenalkan pada 1979 dan juga dalam sejarah Barca.
“Tiga lelaki yang bertanggungjawab dalam setiap aspek FC Barcelona membesar di rumah ini. Pasukan utama mempunyai 10 pemain dari akademi, majoritinya dari La Masia.
“Dalam pasukan Barcelona B, pasukan simpanan, 12 pemain menuntut di universiti.” Mereka menyediakan kanak-kanak itu selengkapnya, pertamanya sebagai individu yang berpendidikan dan keduanya sebagai atlet.
Pelajaran membolehkan mereka menceburi bidang lain, sekiranya bakat mereka tidak cukup bagus atau kecederaan menghalang mereka daripada merealisasikan impian masing-masing. Semuanya di bawah pengawasan Guardiola.
Folguera berkata: “Saya bercakap dengan Amor sekali seminggu dan beliau memaklumkannya kepada Guardiola. Pep berada di sini 10 hari lalu dan kami berbicara mengenai pelbagai perkara. Beliau datang ke sini beberapa kali setahun.
“Sejak Pep menjadi jurulatih, lebih ramai pemain berusia 17 dan 18 tahun berlatih dengan pasukan utama. Beliau adalah orang pertama yang membetulkan mereka dan menasihati mereka.”
Wak: tak terlepas satu pun 10 game classico yg terakhir. kalau nak tahu apa itu bola sepak, classico lah jawapannya.
Friday, November 4, 2011
Kisah Slumdog Millionaire menjadi kenyatan!
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah yang dapat diumpamakan dengan seorang rakyat India, Sushil Kumar . Soalan yang menyebabkan seorang kerani miskin dari timur India itu menang AS$1 juta (RM3.07 juta) dalam program kuiz televisyen popular Who Wants to Be a Millionaire? versi India musim kelima akhirnya didedahkan.
Soalan itu ialah: "Kuasa penjajahan yang manakah menamatkan penglibatannya di India dengan menjual haknya ke atas Kepulauan Nicobar kepada Britain pada 16 Oktober 1868?"
Jawapannya ialah Denmark.
Soalan itu dikemukakan oleh hos, Amitabh Bachchan yang juga seorang pelakon legenda Bollywood.
Pada minggu lalu, Kumar diumumkan sebagai pemenang.
Bagaimanapun, penerbit tidak mendedahkan soalan yang membawa kemenangannya itu sebelum rakaman program berkenaan disiarkan kelmarin.
Kejayaan pemuda berusia 27 tahun yang berasal dari pedalaman negeri Bihar, timur India itu mirip plot filem popular 2008, Slumdog Millionaire yang pernah memenangi beberapa anugerah Oscar.
Filem arahan Danny Boyle itu mengisahkan seorang remaja miskin yang menjadi kaya selepas dia berjaya menjawab semua soalan kuiz Who Wants To Be A Millionaire? seperti yang berlaku kepada Sushil.
Tuesday, October 11, 2011
11 Lelongan Bersejarah Dunia
BILA kita membicarakan mengenai acara lelongan, terbayang berbagai perkara di benak fikiran. Ada yang terbayang rumah atau kereta yang ditarik dari pemiliknya angkara gagal membayar hutang maka terpaksalah ia dilelong.
Ada yang membayangkan acara lelongan yang dijalankan oleh syarikat pelelong ternama seperti Christie, Sotheby's, Bonhams, Lyon & Turnbull: sekadar menyebut beberapa nama. Apabila melibatkan syarikat sebegini acara lelongan anjuran mereka selalunya melibatkan barangan mewah dan antik yang pastinya bernilai jutaan ringgit.
Kini dalam era teknologi maklumat urusan lelongan sudah menjadi semakin mudah, hanya masukkan gambar item yang mahu di jual ke dalam syarikat lelongan Internet, contoh mudahnya eBay atau mudah.com.
Itemnya pula dari sekecil-kecil barang yang murah harganya hinggalah kapal persiaran mewah bernilai ratusan juta dolar. Sebagai perbandingan, tiada perbezaan yang ketara antara lelongan dengan urus niaga lain.
Cuma ia melibatkan syarikat tertentu yang menjadi orang tengah dan melibatkan sekelompok manusia yang akan membida pada harga tertinggi. Namun ia menjadi lebih menarik bilamana melibatkan barangan mewah, antik dan jarang ditemui.
Walau apa pun kisahnya lelongan sebegini adalah antara sebahagian daripada aktiviti ekonomi yang mampu menjana keuntungan lumayan jika kena pada tempat dan barangannya. Melihat kembali kepada sejarah panjang acara lelongan, berdasarkan rekod ia dikatakan telah wujud sekitar 500 tahun Sebelum Masihi.
Jodoh
Berdasarkan catatan Herodotus, kerajaan Babylon lampau pernah menjalankan acara lelongan wanita untuk dijadikan jodoh. Ketika itu dikhabarkan lelongan seperti itu bukan satu kesalahan malah terdapat ibu bapa yang sanggup datang dari jauh untuk ‘menjual’ anak mereka. Malah adalah dianggap satu kesalahan bagi sesiapa yang menjual anak mereka tanpa melalui proses lelongan.
Dalam catatan lain berdasarkan sejarah empayar Rom, mereka yang ditawan dalam peperangan pula akan menerima nasib malang kerana akan dijual dalam satu lelongan untuk dijadikan hamba abdi. Lebih menarik lagi ketika zaman Rom juga sudah ada kaedah merampas rumah mahupun harta benda jika seseorang tidak mampu membayar hutang.
Malah salah seorang maharaja Rom, Marcus Aurelius pernah menjual perabot dan barangan mewahnya untuk membayar hutang sebelum beliau dipilih menjadi maharaja.
Lebih mengejutkan, kerajaan Rom pernah dilelong kepada pembida tertinggi pada tahun 193 Selepas Masihi. Ini berikutan tindakan askar elit Rom ketika itu yang digelar Pegawai Praetorian telah membunuh maharaja Pertinax berikutan rancangan beliau mahu mendisiplinkan mereka.
Pancung
Akibatnya salah seorang golongan bangsawan, Didius Julianus berjaya membida harga tertinggi dianggarkan 6,250 drachmas untuk setiap seorang Pegawai Praetorian. Beliau hanya berjaya memerintah selama tiga bulan sebelum digulingkan dan kemudian dihukum pancung. Kejadian ini telah mengakibatkan perang saudara yang berlanjutan selama empat tahun. Berdasarkan kisah lampau adalah tidak menghairankan kenapa acara lelongan sebegini begitu mendapat sambutan sehingga kini.
Namun yang pasti golongan kaya akan terus mendapat faedah dari lelongan barangan mewah dan antik kerana hanya mereka yang mampu membelinya dan kemudian disimpan sehinggalah harganya naik berlipat kali ganda.
Jika sebuah kerajaan pun boleh dilelong apatah lagi barangan-barangan lain yang mungkin bernilai berkali ganda dari harga asal. Seterusnya dinyatakan beberapa barangan yang dilihat pelik, mahal dan mungkin juga mempunyai nostalgianya yang tersendiri. Layan...
1. Codex Leicester
Buku ini berkisar kepada kajian saintifik yang pernah dilakukan Leornado da Vinci. Walaupun beliau banyak menulis nota kajian dalam pelbagai buku namun buku ini paling berharga berdasarkan teori dan pemerhatian beliau mengenai astronomi, jenis batu, fosil dan kajian mengenai cahaya di cakerawala. Buku setebal 72 muka surat ini pernah dimiliki oleh Thomas Coke yang juga Earl of Leicester pertama pada 1717. Pengasas Microsoft, Bill Gates telah membeli buku ini pada 1994 pada harga AS$30.8 juta (RM92.4 juta) menjadikan ia buku paling mahal di dunia. Setiap tahun Bill Gates akan menayangkan buku ini di muzium yang berbeza untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat dan menilai buku ini.
2. Berlian Wittelsbach
Berlian biru seberat 35.56 karat telah dibeli pada harga AS$23.4 juta (RM70.2 juta) pada 2008 di London oleh seorang lelaki bernama Lawrence Graff. Berlian ini bukanlah paling besar di dunia tetapi tarikan utamanya adalah kejernihan dan kilauan warna birunya begitu memukau. Berlian ini dikatakan berasal dari kerajaan Golkonda di India namun berdasarkan perkembangan terbaru berlian ini telah dipotong kepada tiga bahagian menyebabkan ramai pengkaji sejarah kecewa kerana telah kehilangan keasliannya.
3. Gaun Marilyn Monroe
Gaun berwarna putih gading yang dipakai aktres Marilyn Monroe dalam filem The Seven Year Itch telah dijual pada harga AS$4.6 juta (RM13.8 juta) dalam satu acara lelongan kostum Hollywood. Gaun tersebut yang memaparkan aksi gaun terangkat ditiup angin merupakan rekaan William Travilla dan dikumpul sebelum dijual oleh Debbie Reynolds yang juga seorang pelakon veteran.
4. Painting No. 5
Lukisan bertajuk No. 5, yang dilukis pada 1948 oleh Jackson Pollock telah dinobatkan sebagai lukisan termahal dunia dalam satu acara lelongan pada 2006 dengan harga AS$140 juta (RM420 juta). Lukisan itu bersandarkan kepada teknik splattered paint dengan ukuran lapan kaki lebar dan empat kaki panjang hanya dilengkapi beberapa warna menjadikan ia kelihatan seperti sebuah sarang burung. Pemiliknya sekarang masih menjadi rahsia namun desas-desus mengatakan ia kini dimiliki David Martinez, yang memiliki syarikat Fintech Advisory Ltd.
5. The Walking Man
Arca termahal dunia yang diberi nama L’Homme qui marche I atau The Walking Man merupakan arca termahal dunia dengan harga 58 pound. Arca tersebut dicipta oleh Alberto Giacometti pada 1961. Arca bersaiz manusia ini mempunyai ukuran 183 sentimeter digelar sebagai ‘imej rendah diri manusia biasa’ telah dijual pada 2010 oleh syarikat lelongan Sotheby di London dan kini ia menjadi milik balu ahli perbankan ternama dari Lebanon, Lily Safra.
6. Badminton Cabinet
Mungkin agak pelik namanya namun ia merupakan almari termahal di dunia. Duke of Beaufort, Henry Scudam yang hidup dari 1707 hingga 1745 telah mengarahkan pembinaan almari ini ketika berusia 19 tahun. Almari ini diperbuat dari kayu ebony dan dilengkapi puluhan batu permata bernilai dan ia diperbuat di Florence, Itali. Almari ini merupakan antara karya paling dihargai di dunia dengan ketinggian 386 sentimeter dan lebar 232.5 sentimeter. Ia kini dimiliki oleh Hans-Adam II, yang juga Putera Raja Liechtenstein pada 2004 pada harga AS$35 (RM105 juta). Ia mendapat nama dari bangunan Badminton House di Gloucestershire, England.
7. 1936 Bugatti 57SC Atlantic
Kereta klasik keluaran 1936 telah mencatat sejarah sebagai kereta paling mahal di dunia. Kereta tersebut yang dimiliki oleh ahli keluarga mendiang Dr. Peter Williamson sebelum dijual kepada Muzium Automatif Mullin yang berpengkalan di Oxnard, California dalam satu lelongan melalui firma lelongan Gooding & Company. Sehingga kini hanya terdapat dua kereta jenis berkenaan, salah satunya dimiliki oleh pereka fesyen terkenal, Ralph Lauren. Harga sebenar penjualan kereta berkenaan tidak didedahkan. Namun menurut sumber kereta tersebut dijual pada harga antara AS$30 juta (RM96 juta) hingga AS$40 juta (RM 128 juta).
8. Eileen Gray Dragon Chair
Direka oleh seorang pereka Ireland, Eileen Gray yang turut diiktiraf sebagai antara pengasas gerakan moden dalam senibina. Kerusi ini pernah dimiliki oleh pereka terkenal Yves Saint Laurent
Namun pada 2009, dalam satu lelongan oleh rumah lelongan Christie di Paris, kerusi ini telah dilelong pada harga AS$28 juta (RM84 juta) menjadikannya kerusi termahal dunia.
9. 1794 American Silver Dollar
Duit syiling termahal dunia ini telah dijual pada harga AS$7.85 juta (RM23.5 juta). Duit syiling satu dolar ini merupakan antara yang paling sukar ditemui dan unik berbanding syiling lain kerana ia menampilkan gambar seorang lelaki berambut panjang. Duit syiling ini telah dibeli oleh The Cardinal Collection Educational Foundation of California dan ia telah dipamerkan di pelbagai muzium di seluruh dunia.
10. Ex-Vieuxtemps Violin
Alat muzik ini merupakan yang termahal di dunia dan direka oleh Giuseppe Guarneri yang juga pereka biola termasyhur dunia sebelum dibeli komposer Belgium, Henri Vieuxtemps. Pada 2008 biola ini telah dibeli oleh seorang peguam dan pemuzik Rusia, Maxim Viktorov pada harga AS $3.9 juta (RM11.7 juta).
11. Treskilling Yellow
Pada 1855 kerajaan Sweden telah melancarkan setem pertama yang hanya dikeluarkan sebanyak lima keping. Pada 1886 hanya satu setem ini ditemui menjadikan ia sebagai antara barang paling berharga di dunia. Setem ini telah banyak kali berpindah tangan dan pada 2010 ia telah dilelong pada harga yang tidak dinyatakan.
Pemiliknya kini hanya dinyatakan sebagai sebuah konsortium antarabangsa dan pemilik sebelumnya adalah sebuah syarikat kewangan yang berhadapan dengan masalah kewangan dan ia terpaksa dijual untuk melangsaikan hutang. Malah semua pembida dan mereka yang terlibat telah diarah untuk mengangkat sumpah bagi merahsiakan semua urusniaga yang berlaku.
Wak! : Selalu buka mudah.my. cari barang elektronik. Tapi tak pernah beli pun.... hehe








































